Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berangkat menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri
11/04/2024

hm_110424.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bersama dengan umat Islam dan rakyat baginda di negara ini bagi menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, di sini. 

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen. 

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1445 Hijrah. 

Turut menjunjung, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan. 

Kira-kira jam 7.30 pagi, Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri didirikan dan diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar. 

Sejurus selepas itu, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim dalam Khutbah pertama Aidilfitri antara lain menjelaskan apabila tiba Hari Raya, hampir kesemua kita ini menziarahi rumah ibu bapa. 

“Ibu bapalah tempat pertama yang dituju untuk menyambut lebaran, ibu bapa merupakan insan yang paling berjasa dalam hidup kita, mereka telah mengurniakan seluruh hidup untuk memastikan kehidupan kita sewaktu anak-anak sentiasa cukup dan menerima pelajaran yang selayaknya demi masa depan kita. 

“Setiap kali tiba Hari Raya, pastinya ibu bapa kita insan yang berlegar-legar dalam fikiran dan ingatan kita, maka kegembiraan pada Hari Raya ini pastinya kita ingin raikan bersama insan-insan yang mulia dan inilah peluang yang kita ada untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ibu bapa, keluarga dan sanak saudara," jelas Yang Mulia Pengiran Dato. 

Bagi ibu bapa dan orang tua tambah Yang Mulia Pengiran Dato lagi, mereka adalah insan yang paling gembira pada hari ini kerana anak-anak, cucu dan sanak saudara berkumpul bersama-sama dan pastinya setiap anak mengharapkan restu dan keredaan ibu bapa masing-masing kerana keredaan ibu bapa adalah yang akan mendatangkan keredaan Allah Subhanahu Wata'ala.* 

Yang Mulia Pengiran Dato seterusnya menasihatkan untuk kita mengambil peluang di Hari Raya ini sementara mereka masih ada untuk terus mencurahkan bakti dan penghormatan kepada ibu bapa, serta juga bersyukur bagi mereka yang masih memiliki ibu bapa untuk meraikan Hari Raya bersama-sama. 

Dalam suasana kita menyambut Hari Raya ini, Yang Mulia Pengiran Dato dalam Khutbah keduanya pula mengingatkan kita untuk tidak lupa akan keperitan dan kesengsaraan yang sedang dialami orang saudara seagama kita di mana sahaja seperti saudara kita yang berada di Palestin. 

“Kita sedang bergembira meraikan Aidilfitri sedangkan mereka di sana dalam kegelisahan, ketakutan dengan bermandikan air mata dan bersimbah darah. 

"Mereka menghadapi penindasan dan serangan musuh durjana berupa pengeboman yang tidak berperi kemanusiaan tanpa ada belas kasihan sehingga mengorbankan orang awam termasuk kanak-kanak dan wanita," ujar Yang Mulia Pengiran Dato. 

Dalam Khutbahnya, Yang Mulia Pengiran Dato juga berkata bahawa mereka yang masih hidup pula kehilangan tempat tinggal dan bersedih kerana kehilangan orang yang tersayang, anak-anak kehilangan ibu bapa dan begitulah juga ibu bapa kehilangan anak-anak. 

“Sebagai umat Islam yang diikat dengan tali persaudaraan dan kasih sayang sesama Islam, kita berserta dengan negara-negara Islam yang lain dan juga negara-negara yang mencintai keamanan dan kedamaian amatlah kesal dengan kejadian ini. 

“Oleh itu, saya mengajak kita semua untuk memohon pertolongan daripada Allah Subhanahu Wata'ala dengan berdoa semoga saudara kita di Palestin diselamatkan daripada kekejaman musuh serta penderitaan yang mereka alami berakhir dengan segera dan semoga mereka merasai hidup yang aman dan damai seperti yang kita nikmati di Negara Brunei Darussalam," ujar Yang Mulia Pengiran Dato lagi.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​